>

→→ Search This Blog ←←

Tuesday, November 06, 2012

Hukum Isteri Cukur Bulu Kening

PERSOALAN

Salam,
Saya hendak bertanya apakah hukumnya bagi seorang isteri
membuang atau mencukur bulu kening?

JAWAPAN :

Pada
dasarnya, hukumnya haram dan kesannya ialah berdosa. Hal ini kerana wanita
tidak dibenarkan dengan sengaja membuang atau mencukur bulu keningnya,
termasuklah wanita yang bertaraf isteri.

Antara sumber sandaran kita
ialah hadith yang mengatakan :
“Allah melaknat (tukang) yang memasang
dan dipasang (si pemakai) rambut palsu, yang mencukur bulu kening dan
dicukurkan bulu kening dan yang membuat cacah (tatu) dan dibuatkan
tatu” (Bukhari, Muslim)

Ibnu Mas’ud mengatakan :
“Allah
melaknat orang yang bertatu dan orang yang meminta untuk ditatu, orang yang
mencukur kening dan orang yang meruncingkan gigi untuk mencantikkan dirinya,
yang semua itu mengubah ciptaan Allah.” (Bukhari, Muslim)

Ibnu
Mas’ud juga mengatakan :
“Aku mendengar Rasulullah saw melarang
mencukur kening, mengikir gigi, menyambung rambut dan membuat tatu, kecuali
kerana sesuatu penyakit.” (Ahmad)

Ibnu Abbas berkata
:
“Terlaknatlah orang yang menyambung (rambut) serta yang meminta
untuk disambung rambutnya, orang yang mencukur kening dan orang yang mencukur
kening dna yang meminta agar dicukur keningnya,orang yang mentatu dan orang
yang meminta untuk ditatu, bukan kerana sakit.” (Abu Daud)

Namun
begitu, ada perinciannya.

1. Jika wanita itu dipaksa dengan paksaan yang
boleh memudaratkan dirinya dan dia tidak berdaya mengelakkannya, tidak
mengapa.

2. Jika memang semulajadi kening si wanita tebal luar biasa
berbanding masyarakat sekelilingnya, sehingga mendatangkan cela dan aib
kepadanya seperti digelar “Minah Ulat Bulu”, “Leha Kening Gorilla” ataupun
sering menjadi pembuka ruang kepada orang lain untuk mengata kekurangan
dirinya, maka dibenarkan membuang/mencukur sedikit agar sepadan dengan kening
semulajadi masyarakat di sekelilingnya. Tidak boleh dibuang lebih daripada
kening semulajadi rata-rata masyarakat di sekelilingnya itu.

3. Ada
ulama berpendapat isteri boleh berbuat demikian atas alasan sebagai berhias
untuk suaminya. Apatah lagi jika suaminya suka. Jika mahu pakai juga
pandangan yang ini, tidak mengapa jika si wanita memang jenis yang tidak
keluar rumah dan tidak bergaul dengan yang bukan mahram dengannya. Tidak
mengapa juga jika dia jenis yang keluar rumah tetapi menutup keseluruhan
mukanya seperti burqa wanita Afghanistan, ataupun dengan cara-cara lain yang
lebih kurang begitu, iaitu yang dapat menyembunyikan keningnya daripada
pandangan yang bukan mahram dengannya. Jika keningnya yang diubahsuai itu
sengaja diperlihatkan kepada yang bukan mahram, tentulah berdosa kerana dia
sudah bertabarruj.

WaAllahua’alam.


0 idea/komen ::